Tuesday, 23 October 2012

Kawasan UmnoBN Pun Dilanda Banjir Lumpur, Janji Tak Ditepati?


Banjir lumpur landa 30 rumah - Sinar Harian Pahang

Kesan lumpur dapat dilihat dengan jelas selepas banjir surut.

BENTONG – Kebanyakan penduduk yang tinggal di Chamang Baru, dekat sini, dikejutkan dengan kejadian banjir lumpur kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin.

Dalam kejadian itu, dilaporkan kira-kira 30 rumah di Lorong Permai 7, 11 dan 15 dinaiki air setinggi 0.6 meter.

Seorang penduduk, K Subramansivam, 47, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua ahli keluarganya sedang berehat di ruang tamu menonton televisyen.

Menurutnya, secara tiba-tiba air masuk ke pekarangan rumahnya dan kemudian terus ke ruang tamu.

“Pada masa itu, kami sekeluarga cuba menyelamatkan barangan penting termasuk barang elektrik.

“Tetapi tidak sampai sejam air kembali surut dan meninggalkan lumpur di sekitar kawasan rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Subramansivam berkata, ini adalah kali kedua banjir berlaku selepas kejadian pertama Sabtu lalu.

Berikutan itu katanya, setiap kali hujan, mereka yang tinggal di kawasan itu tidak lena tidur kerana bimbang kejadian sama berulang.

Kejadian kedua lebih teruk

Sementara itu, Mohd Azrin Abdul Rahim, 32, berkata, bencana kali ini lebih teruk berbanding kejadian Sabtu lalu.

Menurutnya, dia dan keluarga dikejutkan dengan banjir kilat separas lutut memandangkan rumah mereka terletak di kawasan paling rendah.

“Sekiranya perkara ini tidak diambil perhatian sewajarnya, sudah pasti kami (penduduk) terpaksa menanggung kerugian setiap kali banjir berlaku.

“Justeru, kami menggesa pihak berwajib ambil tindakan segera, tambahan pula sekarang ini cuaca tidak menentu dan kerap hujan,” katanya.

JKKK kumpul maklumat

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chamang Baru/Kuala Repas, Ishak Saman berkata, pihaknya sudah mengumpulkan maklumat penduduk yang terlibat dalam kejadian itu.

Menurutnya, laporan polis juga dibuat dan akan dihantar kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pihak JKKK berharap masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk kawasan ini dapat ditangani segera bagi mengelakkan lebih banyak kerugian pada masa akan datang.

“Kita percaya penanaman semula getah dan pembinaan rumah di kawasan bukit menjadi penyumbang kepada masalah yang berlaku,” katanya.

Tindakan segera diambil

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut, Datuk Hoh Khai Mun yang turun padang melawat mangsa banjir berkata, pihaknya akan meneliti beberapa cadangan penduduk termasuk meningkatkan sistem perparitan di kawasan itu dan membesarkan longkang sedia ada bagi membolehkan air mengalir dengan lancar setiap kali hujan.

Menurutnya, tindakan itu akan diambil secepat mungkin bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang.

“Susulan kejadian yang berlaku juga, saya minta penduduk yang terlibat membuat laporan kepada pihak JKKK atau balai polis berhampiran.

“Ini bagi memudahkan data sebenar mangsa yang terlibat dapat dikumpulkan,” katanya.

Turut serta dalam lawatan itu, Penghulu Mukim Bentong, Muhammad Azizi Khalid dan Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bentong, Mohamad Kamal Redzuan Kamaruddin.

Selain rumah penduduk di Kampung Chamang Baru, turut dilanda banjir kilat ialah dua rumah di Jalan Tras, Batu Satu.

P/s: Rupanya di Bentong pun boleh berlaku banjir lumpur
Bagaimana di Bentong boleh berlaku banjir lumpur?
Bentong ini kawasan yang dimenangi UmnoBN
MP dan Adun UmnoBN di Bentong tak buat kerja ke?
Janji tak ditepati ke?
Teringat hari tu Buletin Utama TV3 suku siarkan berita kejadian banjir kilat di Klang
Bukan main seriusnya liputan dibuat
Habis dihentamnya Pakatan Rakyat
Kejadian yang kurang lebih sama di Bentong ini Buletin Utama TV3 suku tak buat liputan ke?
Hentam la juga UmnoBN yang memerintah Bentong
Bencana alam seperti ini selalu juga dialami oleh rakyat di beberapa kawasan
Tidak kira parti mana yang memerintah
Jabatan awam yang bertanggungjawab kena menjalankan tugas untuk pencegahan
Media perdana yang melapor juga perlu telus untuk membuat laporan
Bukan pilih-pilih berita

No comments: