Monday 26 January 2015

Ceramah Hapuskan Akta Hasutan


Mari rakyat Malaysia di luar sana kita buat ramai
Hasut jiran tetangga dan saudara mara
Hasut rakan sekerja
Hasut orang kampung dan di bandar
Kita sokong hapuskan akta hasutan!

Monday 12 January 2015

Dari Temerloh ke Thailand jejak pejuang kiri

Dari Temerloh ke Thailand jejak pejuang kiri



Perjalanan setahun empat bulan bukanlah tempoh yang singkat dilalui oleh pasukan Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM).

Mereka berjalan kaki dari Temerloh hingga ke Selatan Thailand dengan menempuh hutan belantara dan bedilan askar penjajah demi perjuangan untuk menuntut kemerdekaan Malaya.

Tempoh perjalanan itu dinyatakan sendiri oleh beberapa orang bekas anggota TPNM Rejimen Ke-10 yang ditemui penulis. Dan mereka masing-masing konsisten mengenai tempoh tersebut.

Sebelum pergi jauh, penulis penulis berharap agar setiap pembaca melihat karangan ini dari sudut ilmiah.

Ataupun lihatlah sebagai perjalanan seorang penulis yang mencari sejarah realiti kemerdekaan negaranya yang mungkin selama ini tidak diketahuinya.

Bagi rakyat negeri Pahang terutamanya anak jatinya, kisah perang Bahaman melawan penjajah British bukanlah dongengan sebaliknya realiti penentangan awal golongan pembesar Melayu tradisional yang jelas menggerunkan askar penjajah.

Pernahkah terlintas di fikiran kita di manakah penghargaan yang diberi generasi merdeka ini terhadap pejuang-pejuang awal yang mahu membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah?

Persoalan pokoknya adalah siapa yang menentang penjajah dan siapa pula yang menurut perintah penjajah.

Perjalanan Temerloh-Thailand penulis bersama rakan-rakan menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan yang diturap elok, mengambil masa enam jam serta dua jam pula untuk ke Kampung Chulaborn Patana 12.

Jika dibandingkan dengan apa yang dilalui oleh tentera rejimen itu sudah tentu bezanya antara langit dan bumi.

Tentera PKM ganas?

Banyak pihak mengatakan mereka (tentera PKM) ganas dan menakutkan, tetapi dua orang wakil penduduk yang menyambut kami di Golok tampil berbeza dengan menghulur salam dan memeluk gembira.

Mereka gembira kerana dapat bertemu dengan rakyat Malaya (kini Malaysia) yang merupakan tempat tumpah darah mereka.

Setibanya di kampung itu, penulis terpegun dengan keadaan kampung yang nyaman di pinggir bukit dikelilingi dengan kehijauan sambil kedengaran bunyi air sungai di belakang tempat penginapan sudah tentu memikat mata dan hati pencinta alam sekitar.

Kenderaan dinaiki kami terus dibawa ke rumah bekas pemimpin utama Rejimen ke-10 iaitu Pengerusi PKM, Abdullah Che Dat atau lebih dikenali dengan nama Abdullah CD yang berasal dari Perak. Beliau yang sudah berumur sekitar 95 tahun menyambut kami dengan baik, namun percakapannya sudah kurang lancar atas faktor umur dan kesan akibat pernah diracun musuh ketika dalam perang.

Selepas selesai beramah mesra dengan Abdullah CD dan penduduk lain yang juga hadir sama, kami dibawa ke rumah penginapan dan kemudiannya dibawa ke tempat makan kerana hari sudah menjengah malam. Menu makanan kampung menjadi hidangan malam, sudah tentu sepinggan nasi tidak mencukupi!

Untuk maklumat, kampung ini terdiri selepas Perjanjian Haadyai 1989 dan pihak kerajaan Thailand yang terlibat dalam perjanjian antara kerajaan Malaysia dan PKM itu menunaikan janji yang termaktub dalam perjanjian tersebut dengan membangunkan kampung untuk bekas perajurit PKM membina hidup baru. Mereka diberi sebuah tapak rumah dan sebidang tanah untuk diusahakan.

Pada malam harinya, penulis bersama rakan-rakan dihidangkan dengan kisah beberapa orang tentera Rejimen ke-10 yang sukarela datang ke bilik berbual dan berkongsi pengalaman mereka ketika bertempur dengan askar penjajah.

Salah seorangnya adalah Pak Hatta yang berasal dari kampung Paya Dalam, Temerloh yang menyertai Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) Rejimen ke-10 pada usia belasan tahun.

Isteri ditembak penjajah

Beliau menceritakan dengan sebak tentang kisahnya yang menyaksikan sendiri isterinya ditembak mati oleh askar penjajah di depan mata dan beliau sendiri ditembak tiga das ketika itu. Namun beliau sempat berundur untuk menyelamatkan diri.

Tidak sempat habis mendengar kisah Pak Hatta, penulis telah hanyut ke alam lain kerana terlalu penat ditambah perut yang kekenyangan dan cuaca yang nyaman.

Pada keesokan harinya, Pak Akob atau nama sebenarnya Yaakob Ibrahim, 52, yang berasal dari Kelantan membawa penulis bersama rakan-rakan ke tapak kem yang pernah diduduki tentera Rejimen ke-10 di atas bukit yang tidak jauh dari kampong Chulaborn Patana 12.

Perjalanan untuk kem tersebut perlu melalui sebatang anak sungai yang jernih dan sejuk serta dikelilingi hutan menghijau, sudah tentu tidak tergambar bagaimana kawasan ini pernah menjadi lokasi pertempuran antara TPNM Rejimen ke-10 dengan askar penjajah.

Kem yang ditinggalkan puluhan tahun itu masih tersemat sejarah perjuangan golongan kiri ini. Terdapat terowong bawah tanah sepanjang kurang lebih 300 meter yang digali oleh anggota Rejimen Ke-10 yang dimaklumkan oleh Pak Akob ia memakan masa selama lima tahun untuk disiapkan dengan hanya menggunakan cangkul dan penggali.

Tidak dapat dibayangkan begitu tinggi semangat mereka melawan penjajah hingga sanggup membina terowong dengan alatan yang terhad serta bersandarkan dengan kudrat tubuh hampir 100 peratus, generasi kini seperti mustahil mampu melakukannya!

Selain itu, di puncak bukit itu, terdapat juga sebuah tugu yang dibina mereka untuk memperingati kesatria pejuang kemerdekaan yang gugur dalam perjuangan. Konsep binaannya dilihat bermotifkan Islam kerana berbentuk kubah dengan bintang dan bulan di atasnya.

Air sungai yang sejuk dan jernih di kaki bukit tidak dapat menahan keinginan penulis dan rakan-rakan untuk membasahkan diri dahulu sebelum pulang ke kampung semula. Terasa segar dan nyaman apabila badan dibasahi dengan air yang tidak tercemar oleh arus pembangunan. Tiba-tiba penulis rasa rindu untuk ke sana lagi!

Pipi basah Norkiah Mahmud

Sekembali ke kampung, pada petang itu hanya aktiviti bebas dilakukan dan penulis hanya tidur merehatkan diri yang penat berjalan di bekas kem serta mandi sungai. Sebelah malamnya, selepas selesai Isyak, aktiviti malam dihiasi dengan tayangan video dokumentari sejarah pergerakan Rejimen Ke-10 dengan skrin besar di dewan yang berdekatan dengan rumah tamu.

Dalam video dokumentari itu, kita akan dapat melihat susuk muda penduduk kampung ini yang suatu masa dahulu memilih perjuangan mengangkat senjata untuk memerdekakan Malaya. Mereka menyanyi, berkawad, melakukan aktiviti seni dan menyambut hari raya korban di dalam hutan, sudah tentu suatu yang tidak pernah kita gambarkan.

Keesokan hari adalah hari untuk perpisahan. Selepas selesai sarapan dan mengemas barang, kami menuju ke rumah sejarah almarhum Abu Samah Kassim yang berasal dari Temerloh untuk bertemu dengan isterinya, Norkiah Mahmud Baginda yang sudah menjangkau lebih 90 tahun umurnya yang juga berasal dari Pahang. Pipinya dibasahi air mata ketika dikatakan kami datang dari negeri kelahirannya.

Nama Abu Samah Kassim bukanlah nama yang asing bagi yang mengikuti sejarah perjuangan kemerdekaan golongan kiri. Beliau juga dikatakan pernah menjawat jawatan ketua Umno cawangan Temerloh dan bergerak aktif dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Terus terang penulis tidak dapat menerima sifat bangsa ini yang seolah menghukum pejuang kemerdekaan apabila melihat keadaan nenek Norkiah tanpa ada sebarang penghargaan daripada generasi merdeka yang kini hidup selesa.

Selepas selesai bertanya khabar dan bersembang dengan nenek Norkiah, kami ke rumah Abdullah CD pula yang berada di sebelah rumah almarhum Abu Samah Kassim sahaja. Digunakan waktu itu untuk berbual dan merakam gambar dengannya serta penduduk lain, setelah selesai terus kami berangkat pulang dengan hati yang puas.

Sejarah yang bermain di minda kami kini bukan lagi kisah sejarah yang tertera dalam buku sejarah sekolah mahu pun universiti, tetapi sejarah yang jauh lebih besar dari itu.

Mengembaralah untuk mengenal sejarah bangsa dan perjuangan golongan terdahulu, agar jati diri bangsa yang sebenar wujud di dalam diri kita.
Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/286049