Wednesday 8 July 2015

Sejarah kiri Malaya yang tiada di Malaysia

Sejarah kiri Malaya yang tiada di M'sia


Tentu kita tidak pernah menyangka bahawa sebuah kampung yang berada jauh di pedalaman dengan kemudahan yang serba kekurangan tetapi mempunyai muzium sejarah tersendiri untuk tatapan pengunjung yang datang.

Lebih menarik, walaupun lokasinya bukan di Malaysia tetapi ia menyimpan khazanah sejarah Malaya dalam konteks perjuangan kemerdekaan golongan kiri.

Itulah Muzium Banchulaborn Patana 12 yang terletak di pedalaman wilayah Sukhirin, Selatan Thailand, di mana penduduknya adalah di kalangan anggota Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) Rejimen Ke-10.

Idea untuk membina muzium ini dicadangkan sendiri oleh Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga merupakan pemimpin Rejimen Ke-10, Abdullah Che Dat atau lebih dikenali dengan gelaran Abdullah CD.

Tujuan asal pembinaan muzium ini pula adalah untuk menyimpan khazanah sejarah perjuangan PKM Rejimen Ke-10 agar ia tidak hilang begitu sahaja serta menjadi tatapan pengunjung selain menjadi kampung yang istimewa kerana mempunyai muzium tersendiri.

Menurut Yaakob Ibrahim, 52, atau lebih dikenali dengan nama panggilan Pak Akob, sumber kewangan bagi membina muzium ini pula adalah lebihan dana PKM yang masih disimpan dan juga hasil derma daripada pelbagai pihak yang mahukan projek ini menjadi realiti.

“Ia dikelola atau diuruskan secara bersama dengan rakan-rakan lain yang tidak putus asa dalam usaha menjadikan ia muzium yang lebih sistematik agar lebih menarik ditatap oleh para pengunjung yang datang.

“Setakat ini, keadaan dalaman muzium masih lagi proses penyusunan kerana terdapat kira-kira ratusan barang peninggalan PKM termasuk senjata, alat pusat kesihatan, aksesori, alat percetakan, alat telekomunikasi, hasil penerbitan dan kelengkapan studio,” katanya.

Jika melihat kepada rekabentuk bangunan muzium, ia bukanlah satu rekaan yang mudah atau biasa tetapi agak menarik dan keluasannya mencukupi untuk menempatkan ratusan barang serta puluhan pengunjung dalam sesuatu masa.

Kos membinanya setakat ini kira-kira RM80,000.

Bagaimanapun, tentu sukar untuk dipercayai, ia dibina dengan hasil titik peluh penduduk di sini yang membinanya bersama. Mereka cuma membayar kos untuk menyewa jentera yang diperlukan di peringkat awal pembinaan.

“Rekabentuk bangunan muzium ini ada arkitek warga Thailand dari Pejabat Daerah di sini yang membantu secara percuma.

“Sebelum itu, kami ada membuat permohonan dengan Pegawai Daerah dan tidak sangka dia menyokong usul untuk membina muzium ini,” katanya.

Namun begitu, kata Pak Akob, ia masih belum sempurna dan susunan barang-barang dalam muzium hanya susunan sementara.

Penulis yang berjalan di dalam muzium dan mengamati barang-barang yang dipamerkan sangat terpegun kerana teknologi yang digunakan TPNM Rejimen Ke-10 agak moden walaupun ketika itu rakyat Malaya masih belum didedahkan dengan teknologi moden.

Tentu sukar juga untuk kita percaya bahawa golongan ini mempunyai Pegawai Perubatan mereka sendiri yang dilatih di dalam hutan lengkap dengan kelengkapan perubatan yang ditugaskan merawat anggota yang cedera dalam pertempuran.

Begitu juga dengan alat telekomunikasi, mereka memiliki alat tanpa wayar yang diubahsuai sendiri sebagai alat perhubungan. Cuba kita bayangkan betapa mereka sudah maju pada zaman itu (tahun 40an – 80-an) dan paling penting mereka mahir menggunakannya.

Banyak lagi info mengenai sejarah pejuangan golongan kiri ini yang kita boleh dapat di sini dan sangat sesuai bagi sesiapa yang berminat untuk membuat kajian ilmiah serta membuat penulisan yang berbentuk sejarah.

Penulis yang berada di sana merasakan masa sangat cepat berlalu dan tidak mencukupi untuk mengamati keseluruhan bahan-bahan sejarah yang ada di muzium tersebut.

Jika panjang hayat penulis, insya-Allah akan ke kampung Chulaborn Patana 12 lagi untuk mencari saki baki sejarah Malaya yang hilang selama ini.

Monday 26 January 2015

Ceramah Hapuskan Akta Hasutan


Mari rakyat Malaysia di luar sana kita buat ramai
Hasut jiran tetangga dan saudara mara
Hasut rakan sekerja
Hasut orang kampung dan di bandar
Kita sokong hapuskan akta hasutan!