Showing posts with label Rejimen Ke-10. Show all posts
Showing posts with label Rejimen Ke-10. Show all posts

Wednesday, 8 July 2015

Sejarah kiri Malaya yang tiada di Malaysia

Sejarah kiri Malaya yang tiada di M'sia


Tentu kita tidak pernah menyangka bahawa sebuah kampung yang berada jauh di pedalaman dengan kemudahan yang serba kekurangan tetapi mempunyai muzium sejarah tersendiri untuk tatapan pengunjung yang datang.

Lebih menarik, walaupun lokasinya bukan di Malaysia tetapi ia menyimpan khazanah sejarah Malaya dalam konteks perjuangan kemerdekaan golongan kiri.

Itulah Muzium Banchulaborn Patana 12 yang terletak di pedalaman wilayah Sukhirin, Selatan Thailand, di mana penduduknya adalah di kalangan anggota Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) Rejimen Ke-10.

Idea untuk membina muzium ini dicadangkan sendiri oleh Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga merupakan pemimpin Rejimen Ke-10, Abdullah Che Dat atau lebih dikenali dengan gelaran Abdullah CD.

Tujuan asal pembinaan muzium ini pula adalah untuk menyimpan khazanah sejarah perjuangan PKM Rejimen Ke-10 agar ia tidak hilang begitu sahaja serta menjadi tatapan pengunjung selain menjadi kampung yang istimewa kerana mempunyai muzium tersendiri.

Menurut Yaakob Ibrahim, 52, atau lebih dikenali dengan nama panggilan Pak Akob, sumber kewangan bagi membina muzium ini pula adalah lebihan dana PKM yang masih disimpan dan juga hasil derma daripada pelbagai pihak yang mahukan projek ini menjadi realiti.

“Ia dikelola atau diuruskan secara bersama dengan rakan-rakan lain yang tidak putus asa dalam usaha menjadikan ia muzium yang lebih sistematik agar lebih menarik ditatap oleh para pengunjung yang datang.

“Setakat ini, keadaan dalaman muzium masih lagi proses penyusunan kerana terdapat kira-kira ratusan barang peninggalan PKM termasuk senjata, alat pusat kesihatan, aksesori, alat percetakan, alat telekomunikasi, hasil penerbitan dan kelengkapan studio,” katanya.

Jika melihat kepada rekabentuk bangunan muzium, ia bukanlah satu rekaan yang mudah atau biasa tetapi agak menarik dan keluasannya mencukupi untuk menempatkan ratusan barang serta puluhan pengunjung dalam sesuatu masa.

Kos membinanya setakat ini kira-kira RM80,000.

Bagaimanapun, tentu sukar untuk dipercayai, ia dibina dengan hasil titik peluh penduduk di sini yang membinanya bersama. Mereka cuma membayar kos untuk menyewa jentera yang diperlukan di peringkat awal pembinaan.

“Rekabentuk bangunan muzium ini ada arkitek warga Thailand dari Pejabat Daerah di sini yang membantu secara percuma.

“Sebelum itu, kami ada membuat permohonan dengan Pegawai Daerah dan tidak sangka dia menyokong usul untuk membina muzium ini,” katanya.

Namun begitu, kata Pak Akob, ia masih belum sempurna dan susunan barang-barang dalam muzium hanya susunan sementara.

Penulis yang berjalan di dalam muzium dan mengamati barang-barang yang dipamerkan sangat terpegun kerana teknologi yang digunakan TPNM Rejimen Ke-10 agak moden walaupun ketika itu rakyat Malaya masih belum didedahkan dengan teknologi moden.

Tentu sukar juga untuk kita percaya bahawa golongan ini mempunyai Pegawai Perubatan mereka sendiri yang dilatih di dalam hutan lengkap dengan kelengkapan perubatan yang ditugaskan merawat anggota yang cedera dalam pertempuran.

Begitu juga dengan alat telekomunikasi, mereka memiliki alat tanpa wayar yang diubahsuai sendiri sebagai alat perhubungan. Cuba kita bayangkan betapa mereka sudah maju pada zaman itu (tahun 40an – 80-an) dan paling penting mereka mahir menggunakannya.

Banyak lagi info mengenai sejarah pejuangan golongan kiri ini yang kita boleh dapat di sini dan sangat sesuai bagi sesiapa yang berminat untuk membuat kajian ilmiah serta membuat penulisan yang berbentuk sejarah.

Penulis yang berada di sana merasakan masa sangat cepat berlalu dan tidak mencukupi untuk mengamati keseluruhan bahan-bahan sejarah yang ada di muzium tersebut.

Jika panjang hayat penulis, insya-Allah akan ke kampung Chulaborn Patana 12 lagi untuk mencari saki baki sejarah Malaya yang hilang selama ini.

Thursday, 21 March 2013

Perginya Serikandi Pejuang Kemerdekaan Negara

Berita yang mengejutkan pada pagi hari ini
Mendapat maklimat dari rakan facebook Mat Amin
Serikandi Rejimen ke-10 Suriani Abdullah telah pergi meninggalkan kita
Almarhumah pernah berjuang mengangkat senjata untuk menghalau penjajah di Tanah Melayu
Namun, perginya yang tidak mungkin akan kembali bukan di tanah ini
Semoga roh beliau ditempatkan bersama roh orang yang baik-baik
Al-fatehah..

Published with Blogger-droid v2.0.10

Tuesday, 19 June 2012

Lagu Rejimen Ke-10 Live @Esplanede Temerloh

Pak Awang aka Hatta merupakan bekas pejuang Rejimen ke-10 yang mengangkat senjata berperang untuk menghalau penjajah demi memerdekakan Malaya bersama rakan-rakannya yang lain. 

Beliau kini memilih untuk tinggal di Kampung Perdamaian Sukhirin, Thailand. Inilah bukti bahawa beliau masih teguh dengan perjuangannya.

Beliau pulang ke Temerloh baru-baru ini adalah untuk menziarahi adiknya yang meninggal dunia. 

Lagu yang dinyanyikannya ini cukup menyentuh hati dan sanubari seorang anak muda yang lahir dalam dunia yang sudah serba ada. Dapat digambarkan bagaimana semangat mereka ketika itu yang berjuang menuntut kemerdekaan menghalau penjajah. Memilih jalan berjuang di hutan dan meninggalkan zaman muda mudi hanya kerana satu matlamat iaitu merdeka.

Inilah bukti Malaya merdeka juga atas sumbangan dari pihak lain selain Umno.


P/s: Terima kasih kepada Pak Awang kerana sudi berkongsi cerita dan pengalaman dengan anak-anak muda

Hujung minggu ini kita #occupy di Kuantan pula!


Monday, 18 June 2012

Sepetang Di #Occupy Temerloh

Temerloh merupakan sebuah daerah di Pahang yang sarat dengan sejarah perjuangan menentang penjajah. Bermula dengan Dato' Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan rakan-rakannya hinggalah ke zaman sekitar 1940-an yang menyaksikan penubuhan Rejimen ke-10 Tentera Pembebasan Malaya.

Kini perjuangan ini disambung pula oleh generasi muda Temerloh yang mewarisi semangat perjuangan nenek moyang mereka. Cuma perbezaannya adalah perjuangan generasi muda kini adalah perjuangan menuntut keadilan dan kebenaran dari sang pemerintah dari dalam negara sendiri.

Petang Sabtu baru-baru ini iaitu pada 16 Jun 2012, #Occupy Temerloh telah diadakan di Taman Esplanede Temerloh yang berlokasi di pinggir sungai Pahang. BTJ telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada. Selain BTJ, tetamu yang turut dijemput ialah sdr. Ahmad Nizam Hamid, Pak Awang aka Hatta dan anak-anak muda lain yang membuat persembahan seni.

Program ini dimulakan oleh sdr. Ahmad Nizam Hamid yang merupakan Ketua PKR Cabang Temerloh dan juga pengamal undang-undang. Beliau menerangkan atau menceritakan mengenai udang-undang media yang baru yang ditentang dan dibantah oleh banyak pihak termasuk dari pihak Pemuda Umno sendiri.

Sdr. Ahmad Nizam Hamid sedang berkongsi dengan anak-anak muda mengenai info terkini mengenai undang-undang media

Kemudian, sesi kedua adalah sesi bagi BTJ pula. Tidak banyak yang BTJ boleh kongsikan. Apa yang BTJ sampaikan lebih kepada pengalaman dan pengetahuan yang sebenarnya masih cetek. Akhir sesi kedua ini BTJ tutup dengan bacaan sajak yang BTJ tulis sendiri yang bertajuk "Mahu Jadi Pejuang". Harap dapat memberi semangat dan inspirasi kepada anak-anak muda yang hadir.

Sesi ketiga pula adalah sesi bersama dengan Pak Awang aka Hatta (warga emas yang memakai kopiah) yang selesa digelar "aki" yang bermaksud atuk oleh anak-anak muda. Siapa Pak Awang aka Hatta ini? Ya, beliau merupakan bekas pejuang Rejimen ke-10 yang suatu masa dulu memikul senjata bergerila di hutan bersama rakan-rakannya dengan hanya satu tujuan iaitu memerdekakan Malaya. Beliau kini bermastautin di Kampung Perdamaian Sukhirin, Thailand dan pulang ke Temerloh seketika kerana adiknya yang baru sahaja meninggal dunia.

Pengerusi majlis mempersilakan Pak Awang aka Hatta untuk berkongsi pengalamannya

Apa yang dikongsi oleh Pak Awang ini sangat bermakna dan tidak mungkin akan diperolehi di bangku sekolah mahupun di menara gading. Sangat beruntung kepada sesiapa yang hadir. anak-anak muda dapat menyelami semangat perjuangan yang masih kuat dalam diri Pak Awang. Beliau yang pernah beberapa kali ditembak dan tegas mengatakan bahawa rela untuk mati di hutan dari berundur serta tidak pernah menyesal memilih jalan perjuangan. Di akhir sesi beliau menyampaikan pesan kepada anak-anak muda untuk teruskan perjuangan. Alang-alang menyeluk pede (pekasam) biar sampai ke pangkal lengan, kata Pak Awang.

Sesi akhir sebelum program ditamatkan ialah sesi seni oleh anak-anak muda. Ada anak muda yang tampil dengan sajak yang dibaca dengan penuh semangat. Ada juga yang tampil dengan kumpulan muzik yang mendendangkan lagu rentak terkini yang bergenre underground. Anak-anak muda yang hadir kelihatan terhibur dan bersemangat menghayati lirik lagu yang didendangkan. Apa yang BTJ pasti tiada nyanyian k-pop didendangkan seperti di Himpunan Sejuta Belia.

Antara persembahan seni oleh anak-anak muda

Sebelum azan Maghrib berkumandang, program telah ditamatkan dan anak-anak muda telah bersurai. Sempat juga anak-anak muda ini berbincang mengenai untuk menubuhkan commitee bagi mengutip derma supaya dapat disalurkan kepada projek Lebuhraya Rakyat yang akan dibina oleh kerajaan negeri Kelantan. Moga projek mereka yang baik ini akan membuahkan hasil.

BTJ ucapkan terima kasih atas jemputan. Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada organizer dan sekalian anak muda yang hadir kerana berjaya mengadakan program seperti ini. Jika tidak kita siapa lagi, betul tak? Teringat sebaris kata yang pernah BTJ baca dalam sebuah buku yang berbunyi 'erti hidup pada memberi'. Apa yang sekalian anak muda Temerloh lakukan ini tidak kira yang menjadi organizer atau yang hadir memberi sokongan, itulah erti hidup yang dimaksudkan.


Anak-anak muda menggenggam tangan simbol bersemangat untuk terus berjuang diikuti juga oleh Pak Awang

P/s: Ini bukan lagi masa untuk kita hanya melihat tetapi masa untuk kita melangkah dan tariklah tangan rakan-rakan di sekeliling kita untuk melangkah sama.


Saturday, 31 December 2011

Puisi Buat Almarhum Ibrahim Chik - KERAS

Inilah sahaja yang BTJ mampu lakukan untuk memperingati jasa perjuangan almarhum Ibrahim Chik yang menyerahkan jiwa dan raganya demi memerdekakan tanah air tercinta ini. Walaupun namanya tidak tercatit sama aras dengan Bapa Kemerdekaan, namun sumbangan almarhum dan rakan-rakannya cukup besar dan kita sebagai generasi masa kini perlu memperingatinya.

Baca dan hayatilah puisi ini. Moga semangat almarhum Ibrahim Chik yang kuat dan tinggi itu akan diwarisi oleh generasi kini dan masa depan.

Khas buat almarhum Ibrahim Chik, permata kemerdekaan negara.


KERAS

Tubuh itu kelihatan lesu,
tubuh itu kelihatan sudah tiada berdaya,
tubuh itu kini perlu disokong bantu,
tubuh itu seakan memberi satu makna,
ya, tubuh itu hasil perjuangan menuntut merdeka.


Lidahnya kini sudah tidak mampu lancar berbicara,
sudah tidak mampu melaungkan kata keramat "MERDEKA!",
walau dulu lengannya keras memikul senjata,
kulitnya keras meredah hutan belantara,
hatinya keras mahukan Merdeka!


Kini tubuh yang pernah muda itu telah pergi,
meninggalkan kata "MERDEKA!" untuk kita perlihara,
namanya tiada akan disanjung megah,
tetapi tanah air ini pernah menyaksikan segala,
dia pejuang bangsa, dia pejuang merdeka.







Almarhum Ibrahim Chik: Perginya Permata Kemerdekaan Negara

Tanggal 29 Dis 2011 sekitar jam 8.34 malam, telah pergi buat selama-lamanya seorang permata pejuang kemerdekaan Ibrahim Chik. Menghembuskan nafas terakhirnya di Taman Setia Jasa dan jenazahnya di tanam di Tanah Perkuburan Sungai Gau, Temerloh, Pahang.

BTJ bukanlah seorang yang arif mengenai sejarah perjuangan kemerdekaan golongan kiri, tetapi BTJ tetap mengambil peduli dan mencari-cari hakikat sebenar sejarah kemerdekaan tanah air tercinta ini. Mungkin ramai yang tidak mengenali nama Ibrahim Chik, ini kerana nama ini tiada dalam helaian buku teks sejarah di sekolah.

Inilah Ibrahim Chik permata pejuang kemerdekaan tanah air. Bermula dengan Angkatan Pemuda Insaf dan kemudian menyertai Rejimen Ke-10. Almarhum mengangkat senjata bersama rakan-rakannya untuk menghalau penjajah British keluar dari tanah air ini. BTJ dengan tegas mengatakan bahawa inilah pejuang kemerdekaan sebenar yang sanggup berkorban dan bersusah demi memerdekakan negara dari cengkaman penjajah.

Melalui sumber dari dari facebook seorang kawan, BTJ telah dapatkan beberapa gambar sekitar pengebumian almarhum Ibrahim Chik.





Dato' Saifudin, Ahli Parlimen Temerloh turut hadir sewaktu pengebumian almarhum Ibrahim Chik

Semoga almarhum ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang diredhai oleh Allah. Marilah kita bersam-sama mendoakan yang terbaik buat almarhum di akhirat sana.