Friday 11 January 2013

Lagi Fitnah Terhadap PAS Terbarai

Pas menang isu fitnah - Sinar Harian


Nor Azli (empat, kiri) bersama peguam (tiga, kiri) dan penyokongnya melaungkan takbir selepas keputusan kes fitnah berpihak kepadanya di mahkamah sesyen, semalam.

IPOH - Mahkamah Sesyen di sini, semalam mengarahkan bekas Ketua Penerangan PKR Perak, Fauzi Muda membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Nor Azli Musa kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 7 Jun 2011.

Hakim Roslan Abu Bakar turut mengarahkan Fauzi membayar kos tetap sebanyak RM10,000 kepada Nor Azli Musa yang diwakili peguam Aminuddin Zulkifli dan Amirul Fairuzin.

Dalam penghakimannya, Roslan berkata, artikel yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 7 Jun 2011 bertajuk ‘Nor Azli Perlu Cermin Diri - Fauzi Muda’ adalah dengan jelas memfitnah terhadap plaintif.

Artikel tersebut, Fauzi mendakwa bekas Ketua Pemuda Pas Perak itu ialah antara lapan pemimpin pembangkang yang menjadi jutawan segera semasa tempoh 11 bulan pembangkang berkuasa di Perak dan perkara itu sudah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 11 Februari 2011.

Selain itu, Fauzi diarahkan supaya membuat permohonan maaf secara bertulis selama tiga hari berturut-turut melalui akhbar yang sama tujuh hari bermula semalam.

Nor Azli ketika ditemui di pekarangan mahkamah bersyukur kerana keputusan kes menyebelahi pihaknya.

“Selepas kemenangan kes ini saya berasa lebih bersemangat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan datang,” katanya.

Tambahnya, setakat ini beliau masih belum membuat sebarang perancangan ke atas wang ganti rugi yang bakal diterima.

“Bagaimanapun, saya pasti akan menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membantu jentera parti bagi menghadapi PRU13 ini,” ujarnya.

Sementara itu, Fauzi ketika ditemui berkata beliau akur dengan keputusan yang dibuat mahkamah berhubung kes berkenaan.

Bagaimanapun, beliau akan mengemukakan rayuan melalui Norali & Co dalam tempoh terdekat.

“Saya akan serahkan segala-galanya kepada peguam untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang hadir ke mahkamah bersama ahli keluarganya.

P/s: Fauzi Muda bekas Ketua Penerangan PKR Perak ni spesis katak ke?
Biarlah katak dengan lompatannya
Kita teruskan perhimpunan bersejarah esok
Sejuta rakyat turun #KL112!!!


No comments: