Friday 11 May 2012

Hanif Omar Minta Jangan Ragui Beliau

Hanif Omar: Jangan ragui saya, tengok rekod lama - Sinaran Hairan

SHAH ALAM – Tun Hanif Omar meminta pihak-pihak yang meragui kewibawaan beliau menerajui Panel Penasihat Bebas berkenaan perhimpunan Bersih 3.0 agar melihat rekod beliau masa-masa lalu termasuk ketika menganggotai jawatankuasa menyiasat insiden polis menembak mati remaja Aminulrasyid Amzah dua tahun lalu.

"Kalau mereka berasa bimbang akan berlaku ketidaksaksamaan, mereka boleh bertanya sendiri kepada ahli-ahli panel terbabit sama ada saya berat sebelah ketika itu,” kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa komen daripada beberapa pihak yang melihat pelantikan beliau sebagai pengerusi panel terbabit tidak sesuai memandangkan siasatan turut melibatkan Polis Diraja Malaysia atas alasan beliau juga merupakan bekas ketua polis negara.

Tambah Hanif, beliau turut diberi persepsi yang sama apabila dilantik ke Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan Operasi-operasi PDRM 2004/5.

“Pada Mei 2010, saya menganggotai Panel Khas Pemantauan Siasatan Polis terhadap kematian mengejut Aminulrasyid Amzah di Shah Alam di mana kedua-dua suruhanjaya dan panel terbabit adalah berhubung aduan terhadap polis,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Hanif, beliau berharap dapat mengendalikan tugas dan harapan tinggi yang disandarkan pihak kerajaan kepadanya bagi mengemudi panel tersebut.

Hanif berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan pelbagai pihak sama ada menerusi Facebook, blog dan kenyataan media mempertikaikan pelantikan beliau mengetuai panel tersebut.

Antaranya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa lantikan tersebut telah menimbulkan kebimbangan rakyat dan persoalan sama ada siasatan ini akan mengaburkan kebenaran ‘keganasan’ polis ke atas peserta yang berhimpun secara aman, menutup penderitaan mangsa-mangsa ataupun cubaan untuk mengatakan Bersih 3.0 merupakan ‘coup d'état’.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menyambut baik pembentukan Panel Penasihat Bebas itu, tetapi melihat pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar sebagai pengerusi panel itu "kurang sesuai."
“Saya amat menghormati Tun Hanif. PDRM berada di zaman kegemilangannya semasa beliau Ketua Polis Negara. Menjadi ahli panel, sesuai. Tapi sebagai Pengerusi Panel, kurang sesuai kerana ia (turut) melibatkan siasatan ke atas tindakan polis (semasa Bersih 3.0)," kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Mengulas lanjut pelantikan beliau, Hanif berkata, “saya menerima e-mel mengenai pelantikan saya sebagai pengerusi panel tersebut bersama enam ahli panel lain pada jam 1.30 petang tadi.”

Bagaimanapun katanya, tiada terma rujukan atau lain-lain maklumat diterima.

“Setelah membuat pertanyaan di Kementerian Dalam Negeri (KDN), saya dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha bahawa Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan memanggil saya dalam tempoh terdekat apabila beliau kembali ke Kuala Lumpur untuk mengemukakan terma pada hari tersebut.

Hanif berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa KDN akan mewujudkan sekretariat untuk panel ini.

Katanya, panel terbabit akan melangsungkan mesyuarat pertamanya secepat mungkin selepas perjumpaan dengan menteri dan apabila sekretariat itu ditubuhkan.

“Saya jangkakan mesyuarat pertama akan membincangkan terma, meletakkan tugas, serta membincangkan bagaimana hendak mengendalikan tugas agar boleh meyakinkan, memuaskan, menampakkan kejujuran serta keseimbangan kepada semua pihak,” katanya.

Semalam, Hishammuddin mengumumkan senarai enam ahli Panel Penasihat Bebas dipengerusikan Haniff bagi menyiasat kejadian rusuhan ketika perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Selain Hanif selaku pengerusi, anggota panel terdiri daripada bekas Ketua Hakim Borneo Tan Sri Steve Sim, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew Liew Peng Chuan, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah dan Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail.

P/s: Kami tak ragu Haniff Omar Jadi Ketua Panel

Tapi kami ragu bagaimana Haniff Omar boleh jadi Timbalan CEO Genting

Hahahahahahahaha!!!

Ahad Ini Tiada Ragu-ragu!


No comments: