Thursday 3 May 2012

Hari Kebebasan Media Sedunia - 0305

Kebetulan


Ini bagaikan satu kebetulan iaitu selepas kejadian wartawan dikasari pihak polis di himpunan aman BERSIH 3.0 pada 28 April yang lepas, hari ini para pengamal media meraikan Hari Kebebasan Media Sedunia.


BTJ bukanlah seorang pengamal media yang bertauliah. Hanya sekadar mempunyai kemahiran asas atau boleh juga dikatakan sebagai amatur. Namun minat dan semangat menjadikan BTJ sebagai pengamal media baru tegar iaitu seorang blogger.


Media baru ini sangat unik. Ini kerana ia merentasi sempadan dan maklumat disebarkan dengan begitu cepat dan pantas. Segalanya dihujung jari. Berbanding dengan media lama, segalanya terhad dan paling teruk terikat dengan undang-undang percetakan yang menyukarkan penyebaran maklumat dilakukan.


Keunikan media baru


Kenapa BTJ kata media baru ini unik? Terus terang BTJ adalah di antara ratusan ribu peserta BERSIH 3.0 yang hadir untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih. Menggunakan tablet yang dimiliki, BTJ dapat melihat sudah banyak gambar yang disebarkan di ruang-ruang maya mengenai keadaan semasa BERSIH 3.0 ketika himpunan masih lagi berlangsung. Inilah keunikannya, kita tidak perlu menunggu hingga esok untuk mendapatkan berita mengenai BERSIH 3.0 ini.


Tambah unik lagi, di malam harinya sudah banyak juga video yang dimuatnaik di laman youtube dan dikongsi oleh para facebooker dan juga blogger untuk tatapan para pelayar maya. Ia bukan sahaja liputan BERSIH di Dataran Merdeka, tetapi ia adalah liputan dari BERSIH yang berhimpun di serata dunia.


Membungkamkan sepenuhnya media pro pemerintah


Ini telah membungkamkan sepenuhnya media pro pemerintah yang jelas kelihatan bias dalam mengulas isu sebegini. Kesimpulan mudah, rakyat tidak lagi mudah ditipu setelah wujudnya media baru. Dikatakan peserta BERSIH 3.0 yang mengganas, rupanya ada bukti video dan gambar amatur pengamal media baru yang menunjukkan bahawa polis juga mengganas dan berlagak bagai samseng hingga mencederakan ramai peserta BERSIH dan tidak terkecuali para wartawan yang bertugas.


Cabaran media baru


Media baru juga punya cabaran iaitu cabarannya juga adalah kelebihannya yang dikatakan dunia tanpa sempadan. Segala maklumat baik atau buruk, benar atau tidak ada di dalamnya. Jadi, menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan kajian atau mencari kesahihan mengenai maklumat-maklumat yang diperolehi tersebut. Justeru itu, carilah yang baik dan banyakkan ilmu kerana alam media baru cukup bermakna untuk diterokai.


BTJ tutup di sini dengan ucapan selamat meraikan Hari Kebebasan Media Sedunia kepada semua pengamal media di seluruh dunia.


Sekian.


Published with Blogger-droid v2.0.4

No comments: