Friday 19 October 2012

Lagi Sekali Pemimpin Umno Yang Mengamalkan Politik Matang Diasak

Saifuddin Abdullah: Usah pertikai kesetiaan saya - Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Ekoran kenyataannya dikatakan mengundang kontroversi sehingga dilabel mengamalkan politik ‘makan keliling’ kerana kenyataan berkaitan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan George Soros, Datuk Saifuddin Abdullah meminta semua pihak agar tidak mempertikaikan kesetiaannya terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Sebenarnya saya sedih kerana kenapa sampai saya perlu cakap begitu (kesetiaan kepada Umno) sebab ini tidak relevan langsung, tetapi apa boleh buat," kata ahli Majlis Tertinggi Umno ini.

Katanya: "Orang tak akan puas hati. Saya cakap begitu pun ada orang yang masih tidak puas hati. Jadi apa yang boleh saya buat?"

"Kita sepatutnya sudah sampai ke tahap politik di mana tak perlu lagi ungkapan 'kesetiaan saya tidak berbelah bahagi', itu sudah tidak perlu cakap lagi. Itu kalau tahun 70-an bolehlah," kata beliau dalam temubual bersama Sinar Harian Online, semalam.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berhadapan kritikan keras beberapa pihak dalam Umno sendiri yang mengecam pendirian kononnya beliau mempertahankan Suaram dan Soros.

Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Muhammad Zahid Md. Arip berkata, Saifuddin tidak wajar mengamalkan politik 'makan keliling' dengan mengeluarkan kenyataan seolah-olah mempertahankan Suaram, yang didakwa menerima dana daripada Soros, penyangak mata wang berbangsa Yahudi.

Muhammad mendakwa Saifuddin kini mencari jalan selamat dengan bersikap liberal demi kepentingan politik peribadi.

Beliau juga mengandaikan kenyataan Saifuddin itu seolah-olah menunjukkan beliau tidak yakin Umno dan BN akan kekal berkuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Menjelaskan hal itu, Saifuddin berkata, beliau bukan menyokong atau pun memihak kepada Suaram mahupun Soros.

Namun beliau mengamalkan politik baru berasaskan ilmu di mana seseorang tidak boleh terlalu cepat menghukum mana-mana pihak tanpa berfikir panjang dan rasional.

Menurut Ahli Parlimen Temerloh ini, tindakan menghukum pertubuhan-pertubuhan badan bukan kerajaan yang membela nasib rakyat seperti Suaram hanya akan menyebabkan Umno-BN kehilangan 30 peratus undi golongan pertengahan dan pengundi atas pagar yang lebih mesra dengan NGO-NGO ini.

"Mereka ini ramai yang simpati dan ramai yang rapat dengan badan-badan masyarakat sivil. Tak semestinya Suaram. Menyerang keterlaluan sebuah badan masyarakat sivil itu boleh menyebabkan kita kelihatan seolah-olah menyerang keseluruhan masyarakat sivil yang diminati oleh sebahagian besar daripada 30 peratus itu.

"Sebab itu, saya sangat berhati-hati. Sebab itu, saya tidak berminat untuk menyerang Suaram walaupun tidak semestinya saya bersetuju dengan Suaram. Kalau mereka salah, mereka salahlah," ujarnya lagi.

Saifuddin juga menegaskan, mana-mana pihak harus melihat kes Suaram secara rasional dan bukannya melakukan pembunuhan karakter secara melampau sehingga menyebabkan rakyat marah dan muak.

Menurut Saifuddin, Suaram tidak melakukan kesalahan kerana menerima dana asing sepertimana Umno Sabah juga menerima dana dari luar melainkan jika organinasi itu melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

"Saya bukannya membela Suaram atau menyokong Soros, kita semua tahu apa isunya. Saya cuma tidak begitu bersetuju kalau kita terlalu cepat menghukum mereka," tegas Saifuddin.

Menurutnya, Umno-BN amat memerlukan undi 30 peratus pengundi atas pagar dan ia tidak akan berhasil sekiranya ada pihak dalam parti cuba menyemarakkan pembunuhan karakter ke atas pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil yang dekat di hati rakyat kelas pertengahan ini.

"Kempen BN tak cukup kalau bergantung kepada pengundi tradisi sahaja.

"Mereka (golongan pertengahan) tidak minat (pembunuhan karakter), mereka sudah jelak perkara yang mengaibkan orang sebaliknya mereka mahu melihat debat politik, wacana, mereka mahu melihat ahli politik itu berhujah dengan bernas.

"Kalau kita berasaskan politik baru, yang berasaskan politik ilmu, kita harus menilai," tegas Saifuddin lagi.

P/s: BTJ bukanlah pro pada si Saifuddin ni
Tapi BTJ setuju dengan usaha beliau untuk mengamalkan politik matang
Tidak pastilah niat beliau hanya untuk publisiti atau sebagainya
Tapi jika niatnya baik
Maka kita sepatutnya sokong

Nasihat BTJ pula kepada Saifuddin
Jika mahu mengamalkan politik baru
Makanya sudah tentu muka baru diperlukan
Muka lama dalam Umno sekarang sudah berakar dengan politik lama

Kepada ahli-ahli Umno di luar sana
Sokonglah Saifuddin demi kelangsungan dan kemajuan Umno
Tolak pemimpin-pemimpin tertinggi Umno sekarang kerana mereka semua mengamalkan politik lama
Pastikan Saifuddin bertanding lagi PRU 13!

Kepada Saifuddin, jika ahli-ahli Umno sudah mempertikaikan kesetiaan kamu
Maka parti lawan sentiasa terbuka menerima kamu
Hahaha!!!

No comments: