Wednesday, 14 November 2012

Pecah Berita: Tidak Ikut Prosedur Sebenar Membelanja Wang Zakat, Dr Juanda Letak Jawatan


Kenyataan Media
14 November 2012


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Perlis telah mendapat berita dari sumber yang dipercayai bahawa Sahibus Samahah Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Baitulmal.

SAMM Perlis juga difahamkan perletakan jawatan Dr Juanda dalam agensi pengurusan zakat negeri adalah ekoran daripada sikap pemimpin negeri yang telah berkali-kali membelanjakan wang zakat tanpa mengikut prosedur sebenar dan mengarut antaranya ialah pergi melancong tanpa terlebih dahulu dibawa berbincang dalam mesyuarat Baitulmal.

Malah, perbelanjaan wang zakat oleh Baitulmal Perlis tidak meletakkan keutamaan yang saksama kepada pecahan – asnaf dan dalam banyak keadaan ia nampak lebih menjurus kepada agensi perniagaan berbanding kebajikan. Apakah Baitulmal Perlis hanya membuat keuntungan di sebalik kutipan zakat yang diperolehi?SAMM Perlis di sini ingin mendedahkan Laporan Audit Negara tahun ini telah meletakkan Majlis Agama Islam Perlis di tahap paling rendah berstatus hanya 2 bintang dari kalangan agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan Perlis. Ini satu pencapaian dari pentadbir yang tidak cekap dan mungkin tidak amanah.

Saban tahun rakyat Perlis yang beragama Islam ikhlas membayar zakat kepada Baitulmal pastinya akan berasa kecewa melihat siri-siri penyelewengan wang zakat yang sepatutnya disalurkan kepada asnaf-asnaf yang ditetapkan mengikut hukum Islam. Bagi anak muda SAMM Perlis, menyalah-guna wang zakat untuk kepentingan sendiri adalah sangat keterlaluan dan wajib disiasat.

Nampaknya, tidak banyak dapat diperkatakan lagi apabila Mufti sendiri pun sudah sampai ke tahap kehabisan toleran tidak sanggup untuk berkompromi sehingga meletakkan jawatan. SAMM Perlis memuji tindakkan Dr Juanda Jaya yang mengelak untuk bersubahat, namun menggesa Mufti Perlis membuat aduan agar wang zakat negeri Perlis selamat diagih kepada yang sepatutnya.

Baitulmal sebagai agensi di bawah MAIPs, justeru Kerajaan Negeri Perlis tidak dapat lari dari menjawab dakwaan penyelewengan wang zakat ini. Kertas Putih wajar dibentangkan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perlis.

Asrul Nizam Abd Jalil
Penyelaras SAMM Perlis




No comments: