Wednesday, 14 November 2012

Tugas Polis Melindungi Rakyat, Bukan Menjadikan Rakyat Takut


3 anggota polis didakwa rogol wanita Indonesia ditahan kerja - Sinar Harian

GEORGETOWN - Tiga anggota polis yang didakwa merogol seorang pembantu kedai warganegara Indonesia pada Jumaat lalu ditahan kerja sementara siasatan sudah 95 peratus selesai.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan sudah menahan ketiga-tiga anggota berpangkat rendah itu.

“Setakat ini, kita sudah merekod 10 keterangan daripada saksi kejadian dan polis sedang menunggu laporan kimia dan laporan perubatan untuk mendakwa ketiga-tiga anggota itu di mahkamah. Sehingga kini, mereka ditahan kerja untuk siasatan dijalankan ke atas mereka.

“Setakat hari ini, 95 peratus siasatan sudah siap. Kita akan tunggu pihak Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan perintah untuk mendakwa ketiga-tiga anggota ini,” katanya pada media hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan menjalankan siasatan dengan telus walaupun melibatkan anggota polis.

“Kita sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk mempercepatkan siasatan dan siasatan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan. Jika dilihat dari tempoh tangkapan dibuat, kita menahan ketiga-tiga anggota berkenaan sehari selepas laporan dibuat mangsa.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan. Kita mengharapkan agar tidak ada pihak yang membuat spekulasi yang boleh mengganggu hubungan diantara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, pemangku Konsul Jeneral Indonesia Pulau Pinang, Sofiana Mufidah berkata, pihaknya mengharapkan siasatan yang telus dan mengikut prosedur dalam kes itu sehingga ia selesai.

“Kita mengharapkan ia (siasatan) diadakan dengan baik dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak yang salah walaupun melibatkan anggota PDRM. Kita juga meminta rakyat Indonesia supaya bertenang dan mengawal emosi.

“Pihak konsul faham, dengan berlakunya kejadian sebegini, ia sedikit sebanyak menyentuh perasaan masyarakat Indonesia (di Malaysia atau di Indonesia), namun kita perlu menangani masalah ini dengan tenang dan perlu mempercayai PDRM dalam menjalankan siasatan. Kita berharap agar kes ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sofiana berkata, mangsa kini berada di pejabat konsul Indonesia di Pulau Pinang sementara menunggu sehingga kes berkenaan selesai.

Sabtu lalu, seorang pekerja kedai makan warga Indonesia berusia 25 tahun mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir oleh tiga anggota polis di sebuah balai di Bukit Mertajam selepas menahannya di kawasan perumahan kira-kira jam 6.20 pagi Jumaat lalu.


P/s: Tangkap dan rogol
Ini biasanya kisah bagi penjenayah
Tapi kali ini ia kisah bagi organisasi yang bertanggungjawab melindungi keselamatan rakyat
Bukan seorang tapi tiga orang polis yang terlibat
Kenapa dalam filem atau dram yang berkaitan polis di Malaysia tidak pernah tunjuk babak-babak jahat pihak berkuasa ini?
Dikisahkan dalam filem atau drama semuanya baik
Ini propaganda untuk membodohkan rakyat!
Tapi tidak semua polis itu jahat
BTJ percaya masih ada yang baik
Cuma tidak pasti adakah bilangannya ramai atau sangat kurang!

No comments: