Wednesday 21 March 2012

Mari Beli Buku Kartun Zunar 1Moolaysia

Mkini: Zunar angkat isu lembu dalam buku terbaru

Walaupun bukunya sering menjadi mangsa pengharaman oleh kerajaan, kartunis terkenal Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar terus menerbitkan karya terbaru yang mengusik perjalanan politik negara.

Kali ini, beliau tampil lagi dengan 1MOOLAYSIA yang antaranya memuatkan jenaka tentang isu projek lembu Perbadanan Fidlot Nasional yang diusahakan oleh keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil.

"Dan saya mengajak semua rakyat Malaysia untuk tidak berdiam diri sebaliknya melakukan yang termampu dalam membongkar pekung dan kezaliman penguasa rakus.

"Paling kurang yang dapat anda lakukan ialah dengan cara berjenaka. Jika anda tidak mampu lawan mereka, ketawakan mereka!" katanya.

Selain terus mengusik isteri perdana menteri Rosmah Mansor sebagai subjek yang digemarinya, Zunar juga menyentuh pelbagai isu semasa yang menurutnya "gagal" disentuh kartunis politik di Malaysia.

Isu-isu itu antaranya berkaitan tindakan imam kontroversi Hoslan Hussein yang membaling kasut ke arah panel hakim, isu dakwaan Rosmah suka membeli-belah dan demonstrasi BERSIH 2.0.

Selain kartun-kartun terbaru, 1MOOLAYSIA turut memuatkan karya-karyanya yang termuat dalamMalaysiakini dan laman antarabangsaCartoonmovement.

Buku kelima Zunar ini akan dilancarkan oleh anggota parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada 25 Mac di sebuah kompleks membeli belah di Petaling Jaya.

Ia boleh dibeli secara langsung hari tersebut selain tempahan melalui laman webnya dan kedai buku dalam talian Kinibooks.


No comments: