Siswa dipuji Tengku selepas patahkan tiang bendera Filipina, tahun 1968
"Panglima Melayu" yang ghairah mahu meludah pada muka Adam Adli mungkin perlu menelaah kisah sejarah pada tahun 1968 ini, yang tercatat dalam buku berjudul Mahasiswa Menggugat, tulisan Muhammad Abu Bakar.
Fahmi Reza, yang dikalungkan gelaran "pensyarah sejarah gerakan mahasiswa" tidak berhenti di situ. Beliau menceritakan apa yang berlaku seterusnya, di mana kumpulan mahasiwa ini berarak ke tempat kediaman Tengku Abdul Rahman, selepas lebih kurang satu jam di Kedutaan Filipina. "Perdana Menteri telah keluar dari rumah dan memberi ucapan memuji semangat yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar. Ucapan Tengku telah disambut dengan tepukan, dan pekikan mengutuk Marcos," petik Fahmi Reza yang membacakan kisah tersebut.
Lebih 150 orang yang hadir dalam forum berjudul "Adam Adli, Kebebasan Akademik & Kebangkitan Mahasiswa", semalam, menyambut ucapan Fahmi dengan tepukan dan gelak ketawa, apabila mengimbas bagaimana Adam Adli disifatkan oleh pimpinan dan media milikan UMNO sebagai bertindak "biadap", "tidak matang", "radikal", malah "ekstrem".
Turut hadir sebagai panelis adalah Adam Adli dan Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik, BEBAS Muhammad Safwan Anang. Forum anjuran Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Selangor-KL di auditorim bangunannya itu dipengerusikan oleh Syukri Razab dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Aunty BERSIH, Anne Ooi, dan bekas aktivis siswa yang pertama menyaman kerajaan kerana AUKU, Soh Sook Hwa juga hadir untuk memberi sokongan.
Fahmi menyifatkan perbuatan menurunkan bendera berwajah Najib sebagai "taktik yang kreatif untuk menarik perhatian", mengundang hadirin untuk merenung mengapa siswa ini tidak menggunakan "platform yang baik" sebagaimana yang dipersoalkan pihak yang membantah tindakan Adam.
Adam hadiahkan aksi turun bendera untuk siswa
Watak utama dalam insiden "turun bendera Najib", Adam Adli mengisahkan bagaimana bosannya siswa apabila perjuangan mereka tidak dilayan kerajaan, sebaliknya hanya Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah yang berjumpa dan menerima memorandum mahasiswa. Adam menganggap Najib selaku Perdana Menteri, perlu bertanggungjawab ke atas AUKU.
Adam mengakui bahawa dirinya berpuas hati dengan aksi lima minit itu, sempat beliau tabik kepada panji perjuangan mahasiswa setelah dinaikkan. Malah, beliau mendakwa aksi itu dihadiahkan kepada mahasiswa, yang turut berpuas hati dan dinaikkan semangat kembali lantaran daripada perbuatan tersebut.
Adam yakin, orang yang mempunyai iltizam yang sama, akan buat benda yang sama jika diberi peluang sebegitu. Siswa berusia 22 tahun ini menafikan dirinya menerima arahan dari siapa-siapa, menyanggah tuduhan bahawa dirinya kuda tunggangan Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Beliau menegaskan, mahasiswa bersedia melawan hujah dengan hujah, dan bersedia jika agenda kebebasan akademik yang diperjuangkan mereka ditentang, tetapi bukan ditentang dengan sesuatu yang tidak masuk akal seperti label kuda tungganggan pembangkang dan sebagainya.
Safwan menegaskan, ahli akademik sama ada di dalam atau di luar kuliah, mempunyai kebebasan untuk menyatakan pandangan, mempersoal, menguji sesuatu pandangan yang pada pandangan umum, ia bersifat kontroversi, atau bersifat tidak popular. Keduanya, institusi akademik tidak berhak untuk mengambil tindakan atau menghalang kebebasan akademik di kalangan kakitangan ataupun mahasiswa.
Sebelum bendera Najib diturunkan...
Safwan mengambil kesempatan untuk menceritakan apa yang telah dilakukan oleh BEBAS, sebelum aksi "penurunan bendera Najib" mengambil tempat. Mereka pernah mengadakan forum, mengundang mantan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menggubal AUKU, Mahathir Mohamad untuk berdebat (namun undangan ditolak Mahathir), BEBAS pernah turun untuk berucap di speaker corner, mengadakan flashmob,roadshow dan sebagainya untuk menyampaikan mesej perjuangan kebebasan akademik.
Safwan juga tidak berpuas hati apabila suara BEBAS yang mendesak pemansuhan AUKU tidak diendahkan kerajaan, sebaliknya diteruskan dengan perbincangan meja bulat "pindaan AUKU". Beliau berkata, tiada orang yang membawa agenda pinda AUKU, hanya pihak yang mendesak agar AUKU dimansuhkan, atau pihak yang mendesak agar AUKU dipertahankan.
"Saya nak simpulkan di sini dengan, takrifan sebuah universiti. Universiti adalah tempat berlakunya kebebasan mutlak. That is university. Dan realiti di Malaysia, terdapat banyak IPT, Institusi Pengajian Tinggi, tetapi tidak ada universiti. Atas faktor itulah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pun tidak relevan untuk diwujudkan di Malaysia."
"Kita bukan setakat tolak AUKU, kita bukan setakat tolak HEP (Bahagian Hal Ehwal Pelajar dalam universiti), kita juga tolak KPT," kata-katanya disambut dengan tepukan hadirin di bawah pentas.
Sumber: http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=12645#.TxD8c77wgTE.facebook
No comments:
Post a Comment