Thursday 5 January 2012

Kes Saman Taib Mahmud Ke Atas Mkini: Sarawak Report Lawan Berita Harian

Malaysiakini mohon maaf kepada Taib Mahmud

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Portal berita propembangkang, Malaysiakini hari ini memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung penyiaran 12 artikel berunsur fitnah terhadap beliau, lima tahun lalu.

Permohonan maaf oleh pengendali portal itu, Mkini Dotcom Sdn. Bhd. dan Ketua Pengarangnya, Steven Gan Diong Keng, 49, yang dinamakan sebagai defendan dalam saman fitnah oleh Abdul Taib itu, dinyatakan dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh peguam mereka, Fahri Azzat di hadapan Hakim Rosilah Yop.

Berikutan permohonan maaf tersebut dan persetujuan defendan untuk menahan diri daripada terus menerbitkan perkataan-perkataan fitnah itu atau yang serupa kesannya, Abdul Taib bersetuju menarik balik tuntutan saman berkenaan.

Abdul Taib selaku plaintif memfailkan tuntutan saman itu pada 2007 setelah portal berita secara dalam talian di Internet itu menyiarkan 12 artikel dari 6 April dan 3 Mei 2007, yang didakwa mengandungi perkataan yang memfitnah beliau.

Plaintif mendakwa, artikel-artikel itu mengaitkan beliau dengan pengumpulan wang secara tidak sah berjumlah RM32 juta daripada syarikat-syarikat perkapalan Jepun melalui kegiatan yang bercanggah dengan undang-undang berhubung perniagaan balak di Sarawak.

Sementara pernyataan pembelaan pihak defendan terhadap tuntutan saman itu sebelum ini menyatakan bahawa perkataan yang terkandung dalam artikel-artikel berkenaan disiarkan berdasarkan perlindungan bersyarat.

Dalam kenyataan pihak defendan hari ini, mereka mengakui menyiarkan artikel-artikel itu hanya berdasarkan kepada laporan berita oleh beberapa media Jepun tanpa mengesahkan kebenaran laporan berita itu dengan plaintif atau pihak berkuasa yang lain.

Menurut defendan, mereka difahamkan bahawa Biro Pencukaian Serantau Tokyo (TRTB) telah mengubah keputusannya berhubung dakwaan isu wang sogokan itu setelah mendapati tuduhan itu sama sekali tidak berasas.

"Kami dengan ini mengakui bahawa artikel-artikel berhubung wang sogokan yang melibatkan syarikat perkapalan Jepun telah diterbitkan secara salah," kata defendan.

Mereka juga melahirkan rasa kesal terhadap sebarang sindiran yang tidak diingini dan bersetuju serta berjanji tidak akan menyiarkan sebarang laporan berita atau kenyataan terhadap plaintif berhubung isu sogokan membabitkan syarikat perkapalan Jepun kepada syarikat luar pesisir Hong Kong dikenali sebagai Regent Star.

''Kami mengakui artikel-artikel tersebut telah menyebabkan plaintif merasa malu, mengalami kesusahan dan menjejaskan reputasi beliau dan memohon maaf terhadap sebarang kesulitan yang dihadapinya,'' ujar pihak defendan.

Ekoran permohonan maaf itu, pihak defendan juga akan menyiarkan berita daripada TRTB yang memutuskan bahawa jumlah yang dibayar oleh syarikat perkapalan Jepun adalah bayaran yang sah.

Terdahulu, peguam Robert Lazar yang mewakili Abdul Taib menyatakan, pihak defendan telah menerima kesilapan serius mereka apabila menerbitkan artikel-artikel yang mengaitkan mereka dengan plaintif secara peribadi dan mengakui telah menjejaskan, memalukan dan menyusahkan plaintif.

Menurutnya, plaintif membawa kes itu ke mahkamah demi keadilan untuk memperbetulkan artikel-artikel palsu dan berniat jahat yang diterbitkan oleh pihak defendan.

Beliau menambah, tindakan saman itu dilakukan dalam keadaan plaintif dengan tegasnya menafikan terlibat dalam sebarang salah laku seperti yang didakwa dalam artikel-artikel berkenaan.

Persetujuan kedua-dua pihak bagi tujuan penyelesaian tersebut kemudian direkodkan oleh Hakim Rosilah tanpa sebarang perintah kos.


M'kini muncul pemenang, kata Sarawak Report

Walaupun Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menarik balik saman fitnah terhadap Malaysiakini semalam, tetapi pengkritiknya, Sarawak Report mendakwa reputasi ahli politik veteran itu telahpun tercalar.

Peraturan pertama dalam kes saman fitnah, tegas Sarawak Report,ialah ia menarik perhatian kepada pengadu.

Tambahnya, dalam keadaan sedemikian, Taib bertekad untuk bertindak terhadap Malaysiakini yang telah membawa satu fakta ke perhatian dunia - bahawa negeri itu mempunyai "hutan hujan tertua di dunia" dan ia semakin pupus.

Portal anti-Taib itu mendakwa, ketua menteri memfailkan saman tersebut kerana BN tidak biasa dengan sebuah media yang tidak melaporkan apa yang dikehendaki oleh parti pemerintah.

"Mereka telah lama mewujudkan satu monopoli korup ke atas akhbar dan penyiar di Malaysia dan mereka fikir ia akan berakhir di situ," katanya sambil menambah bahawa capaian internet, telah membantu menjatuhkan rejim-rejim zalim di Timur Tengah tahun lalu.

"Apabila dia menyedari kesilapannya itu, cerita tersebut sudahpun menjadi begitu besar dan semua itu adalah kerana tindakan mahkamahnya sendiri," kata Sarawak Report.

Namun begitu, tambahnya, ketua menteri itu jelas mengharapkan yang dia boleh terlepas daripada isu tersebut, kerana mempunyai kuasa dan kekayaan.

Dakwa portal itu lagi, memandangkan pengawalan BN ke atas mahkamah dan badan kehakiman, Taib berharap dia dapat mencapai satu keputusan yang boleh menyebabkan Malaysiakini tutup kedai.

Menurut Sarawak Report lagi, dunia dapat melihat profesionalismeMalaysiakini dan laporan yang tepat di talian berdasarkan kepada maklumat konkrit yang disediakan oleh pihak berkuasa percukaian di Jepun.

Malaysiakini tidak perlu bayar sesen pun

Dengan perbicaraan dijadualkan bermula menjelang pilihan raya persekutuan, Sarawak Report mendakwa ia adalah jelas bahawa Taib terpaksa menyelesainya, tidak kira apa cara sekalipun.

"Reputasinya tidak mampu berdepan dengan serangan seumpama itu, begitu juga dengan BN.

"Penyelesaian di luar mahkamah hari ini merupakan satu keaiban terhadap Taib. Malaysiakini tak perlu bayar sesen pun. Satu kesilapan yang besar, kesemuanya disebabkan oleh rasa marah," dakwa Sarawak Report.

Menurutnya lagi, ianya jelas kepada seluruh dunia bahawa Taib memikirkan tentang berdepan dengan persoalan seumpama itu di mahkamah terbuka dan membuat keputusan yang bijak bahawa lebih baik jangan berbuat demikian.

Katanya, Taib (kiri) telah mencuba berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkan penyelesaian tetapiMalaysiakini enggan berganjak - walaupun wartawannya yang menulis berita itu telah meninggal dunia dan keputusan pihak berkuasa percukaian Jepun untuk menggugurkan pendakwaan terhadap dakwaan sogokan tersebut.

Menurut Sarawak Report lagi,Malaysiakini telah menolak tawaran asal Taib untuk menggugurkan kes itu jika mereka membayar kos perundangannya.

Mereka juga, tambahnya, menolak tawaran semulanya untuk menarik diri jika mereka hanya membayar beberapa ribu ringgit, supaya dia boleh mengatakan bahawa mereka terpaksa membayar gantirugi.

Jadi, dakwa Sarawak Report, Taib datang balik untuk memintaMalaysiakini memohon maaf dan sebagai balasannya, dia akan menggugurkan saman fitnahnya itu.

"Sesuatu permohonan maaf, terutamanya qualified apology yang berdasarkan perubahan dalam pendekatan pendakwaraya Jepun, tidak membabitkan apa-apa kos ke atas mereka! Taib telah hilang dendamnya... dan begitu juga reputasinya."


P/s: Pembaca semua boleh membaca dan seterusnya menilai sendiri penulisan dari dua akhbar ini.

Walau Apa Pun Penilaian Anda, Sokong Ini!

No comments: