Tuesday, 13 December 2011

Hishamuddin Rais: Berahi Dan Moral

Setiap kali saya membaca berita mayat bayi ditemui mati - air mata saya akan berlinang. Saya merasa begitu sedih kerana sebagai warga saya merasa sama bertanggung jawab terhadap tragedi ini. Saya merasakan kita semua sebagai warga wajib bertanggung jawab bersama di atas kematian bayi itu.

Kali pertama saya terbaca berita mayat bayi ditemui ialah pada tahun 1995. Ini hanya beberapa bulan setelah saya pulang ke Malaysia setelah tinggal di luar negara selama 20 tahun. Berita yang saya baca itu melaporkan bagaimana mayat bayi ini telah ditemui dalam bakul motorsikal di tempat letak motosikal di wilayah lapangan terbang Subang. Saya terperanjat besar kerana inilah kali pertama saya terbaca berita sedemikian.

Kemudian — selang beberapa bulan - saya terus membaca laporan berita mayat-mayat bayi yang ditemui mati. Ada yang dijumpai tertanam di tepi batang pisang, di dalam tandas, di tempat pembuangan sampah. Akhirnya saya tidak memiliki kesanggupan untuk membaca. Kalau saya ternampak laporan berita tentang janin atau bayi dalam akhbar saya akan menutup akhbar tersebut. Kali akhir saya terlihat gambar mayat bayi yang dibuang mati telah dihurung oleh semut. Saya hampir muntah melihat gambar ini. Saya hairan dan tidak faham apa tujuan akhbar ini memaparkan gambar ini.

Aduh! Apa yang sebenarnya sedang berlaku?

Saya sering menimbulkan persoalan ini. Dalam tulisan dan dalam forum-forum terbuka saya akan bertanya dan menimbulkan kisah-kisah bayi dibuang. Di forum-forum ini saya akan mendakwah untuk membawa pencerahan kepada warga agar dapat melihat kes bayi dibuang ini dari satu sudut yang berbeza.

Ketika ini saya melihat seolah-olah kita — warga dewasa dan pemimpin masyarakat — telah sampai ke jalan buntu apabila berhadapan dengan kes bayi dibuang. Malah kerana bayi dibuang mati sering dilaporkan maka kita semua telah menjadi lali. Berita sedemikian tidak lagi memeranjatkan kita semua.

Di forum terbuka secara sedar saya memanjangkan leher bersuara untuk mengajukan satu lagi cara memandang masalah yang sama. Saya bukanlah seorang pendakwah moral. Saya berdakwah dengan membuka surah tentang kematian James Bulger. Jimie - nama manja kanak-kanak yang baru berumur 3 tahun - telah dibunuh oleh dua orang kanak-kanak yang berumur 9 tahun. Tragedi pembunuhan kanak-kanak ini berlaku pada tahun 1993 di Liverpool England. Tragedi ini berlaku ketika itu saya masih lagi warga kota London.

Apabila berita tragedi ini dilapor media — bukan sahaja masyarakat Britain yang terperanjat, malah seluruh warga Eropah terkejut sama. Dari Stockholm hingga ke Sardinia warga Eropah tertanya-tanya. Persoalan muncul: Apa telah berlaku dalam masyarakat British? Dari mana kesilapan ini datang? Apa punca tragedi ini?

Apa yang menarik perhatian saya ketika itu ialah bagaimana satu tragedi ini telah memanggil semua anggota masyarakat untuk mengeluarkan pandangan dan pendapat. Para profesor kaji masyrakat, para akedemia, para agamawan, pekerja sosial, politikus, pemimpin masyarakat, ibu dan ayah — semuanya membincangkan tragedi kematian Jimie. Satu kematian anak kecil ini telah membuka mata setiap warga di Britain. Saya ulangi - hanya satu kes kematian - telah membuka mata seluruh negara.

Bagaimana pula sikap masyarakat Malaysia apabila berhadapan dengan tragedi bayi ditemui mati dibuang. Bukan seorang. Bukan dua. Bukan sepuluh. Jangan terperanjat apabila saya nyatakan statistik rasmi disini.

Dari 2000-2006 seramai 580 bayi telah dibuang. Dari awal tahun hingga bulan Ogos ini seramai 73 bayi telah dibuang. Ada yang dijumpai di tepi tong sampah, dalam tong sampah, tertanam dalam belukar dan ada yang ditemui di rumah kosong. Seramai 29 bayi yang dibuang ini telah ditemui hidup manakala 44 orang telah ditemui mati. Ini angka rasmi dari pihak polis sendiri.

Jangan terperanjat apabila saya berani menyatakan bahawa saya cukup yakin ibu bapa bayi-bayi tersebut pastilah dari anak muda dan gadis Melayu. Melayu yang saya maksudkan di sini pastilah beragama Islam. Bayi-bayi ini lahir dan kemudian dibuangkan adalah hasil dari hubungan seksual di luar nikah.

Justeru, kerana masyarakat terus menganggap bayi-bayi yang dibuang ini bayi Melayu maka yang awal bersuara ialah para agamawan kita. Untuk saya para agamawan ini hanyalah birokrat agama yang mungkin terdidik dalam bahasa Arab di Jordan atau di Mesir. Para birokrat agama ini hanya bersuara dengan membawa hujah-hujah moral. Lalu dijanjikan api neraka sebagai balasan kerana membuang anak yang tidak berdosa.

Para birokrat agama ini menggunakan api neraka, dosa dan pahala sebagai hujah dalam usaha untuk memadamkan keinginan seksual anak-anak muda. Saya menolak hujah moral sebagini. Hujah moral yang dijaja oleh para birokrat agama telah terbukti tidak membawa apa-apa makna kepada anak-anak muda yang testosterone sedang memuncak.

Saya berani berkata sedemikian kerana dari tahun 2008 — 2010 terdapat 152,000 apa yang dipanggil kelahiran anak di luar nikah. Ini adalah stastik rasmi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Angka ini menunjukan bahawa hujah moral telah tidak berjaya mengurangkan testosterone anak-anak muda yang baru belajar 'mengawan'.

Dari angka-angka ini saya menimbulkan persoalan kenapa hanya bayi Melayu sahaja yang dibuang? Kenapa hanya hanya anak gadis Melayu sahaja yang melahirkan anak di luar nikah. Apakah anak gadis Cina, anak muda India tidak memiliki keupayaan untuk bersenggama?

Saya menimbulkan persoalan ini kerana amat jelas tragedi pembuangan bayi ini rata-rata sedang melanda masyarakat Melayu/Islam. Pembuangan bayi ini adalah manifestasi kesakitan sosial yang sedang melanda masyarakat Melayu.

Cuba bayangkan 580 bayi dibuang mati. Jumlah ini sama dengan satu batalion askar Melayu DiRaja. Cuba bayangkan 73 orang bayi dibuang tahun ini. Jumlah ini sama dengan dua buah kelas darjah satu di Sekolah Kebangsaan Bangsar.

Kerana fakta di atas, saya telah menolak hujah moral. Sebagai ganti saya mengajukan bahawa telah sampai masanya kita menerima hakikat yang masyarakat Melyu tradisional sedang mengalami perubahan struktur sosial. Perubahan sosial masyarakat Melayu ini dibawa datang oleh perubahan asas ekonomi. Kalau dahulu Melayu tradisional bertani di kampong-kampong kini telah wujud generasi kedua Melayu yang hidup memburuh di dalam kota.

Perubahan struktur sosial yang dibawa oleh ekonomi ini juga telah membuka perhubungan sosial yang baru antara anggota masyarakat. Kalau dahulu jejaka dan gadis hanya bertemu ketika kenduri kedara. Gadis pingitan bertemu jejaka di hari perkahwinan hanya tinggal sebagai kisah yang lampau. Hari ini anak gadis dan sang jejaka bertemu siang dan malam.

Saya tidak menolak peranan agamawan tetapi jelas kelihatan pendekatan moral telah meleset dan gagal. Saya juga tidak menolak bahawa pandangan para agamawan ini berniat baik, jujur dan ikhlas. Tetapi di sini yang kita perlukan bukan nait baik atau kejujuran. Niat baik sahaja tidak akan memberhentikan anak —anak muda dari melakukan hubungan seksual.

Berahi seksual dialam remaja tidak hanya dapat dilentur dengan mandi air sejuk atau jampi serapah. Ianya memerlukan satu pendekatan baru. Kepul asap sebagai alat menghantar maklumat tidak mungkin mengatasi maklumat sms dari talipon bimbit.

Justeru, kita wajib berani melihat bayi yang dibuang ini sebagai tanggung jawab kita semua. Para agamawan tidak memonopoli kebenaran. Para politikus wajib lebih berani membuat keputusan. Para ilmuwan dari semua cabang ilmu wajib turut sama memberi pandangan dan pendapat. Tua dan muda wajib berbincang sama hal ini.

Saya yang mendakwah untuk membawa pencerahan mencadangkan anak anak muda kita diberitahu tentang nikmat hubungan seksual. Tidak perlu orang tua-tua — oldtai — berselindung dan cuba menafikan bahawa bersenggama itu memang seronok dan penuh nikmat. Tetapi anak anak muda juga wajib disedarkan bahawa hasil dari hubungan seksual itu memungkin melahirkan seorang insan.

Justeru kita akan memberi tabik hormat jika mereka memilih untuk tidak bersenggama. Tetapi kalau tekanan testosterone cukup merangsang saya mencadangan anak-anak muda menggunakan kondom. Untuk sementara waktu saya berpendapat hanya kondom yang akan dapat mengurangkan bayi dibuang mati. Saya juga berpendapat bahawa orang tua-tua telah kehilangan modal dan hujah untuk melunturkan kemudaan anak-anak muda.

Saya tidak mahu air mata saya terus berlinang membaca berita penemuan mayat bayi yang ditanam di belakang reban ayam. Masanya telah sampai untuk kita semua mendewasa dan bukan terus berselindung dibelakang tabir moral.

No comments: