Wednesday, 14 December 2011

Ini Hujah Ahli Akademik, Bukan Ahli Politik!

BTJ sangat tertarik dengan hujah dan seruan Prof. Abu Hassan Hasbullah yang begitu tegas dan jelas dalam menuntut supaya generasi muda melakukan perubahan.

Jika hujah dan seruan ini dari ahli politik, mungkin ia hanya kerana survival politiknya. Ini kerana ahli politik itu ibarat laut yang luas, di dasarnya tidak diketahui rupa dan isi.

Tetapi ini hujah dan seruan daripada seorang ahli akademik. Hujah dan seruannya berdasarkan kajian, penyelidikan dan pengalaman.

BTJ yang dianggotai oleh barisan anak muda sangat setuju dan menyahut seruan ini. Ia adalah realiti zaman kini di sebuah negara yang dulunya dikenali Tanah Melayu tetapi sekarang telah dikenali sebagai Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi serta rakyat berbilang kaum dan agama.

Oleh sebab faktor persekitaran negara yang berbilang kaum dan agama ini, perubahan yang dilakukan hendaklah lebih realistik dan memerlukan penyertaan secara total dari seluruh masyarakat serta pengorbanan pasti dituntut. Tentu ada yang lebih patut diberi keutamaan bagi menjayakan negara bangsa ini.

Keutamaan itu adalah kepada negara ini dan telah tiba masa generasi muda memikirkan survival negara, bukan survival individu atau mana-mana parti politik. Di sini BTJ menegaskan bahawa negara mendahului semua kepentingan individu dan parti.

Jadi, perubahan yang dituntut tidak boleh dilengahkan oleh generasi muda. Sudah masa untuk kita berlari, bukan berjalan santai bagai negara ini cukup aman dan stabil bagi kita mendiaminya.

Stabil dan aman ini bukan bermakna tiada peperangan sahaja dan kita boleh selamat untuk berlegar ke mana-mana di dalam negara ini tetapi ia lebih luas untuk didefinisikan. Bagaimana isu rasuah? Wang negara atau lebih tepat wang pembayar cukai yang lesap tanpa kita tahu ke mana arahnya, ke poket sesetengah individu atau kepada pembangunan masyarakat dan negara? Projek NFC yang meleburkan RM250 juta dan pelbagai lagi yang disaksikan oleh rakyat namun tetap membisu. Negara juga menanggung hutang hingga bernilai ratusan billion ringgit. Adakah semua permasalahan negara ini membuktikan negara ini stabil dan selamat?

Kini, bukan lagi masa untuk masyarakat terus membisu. Generasi muda telah mula bangkit untuk bersuara dan golongan tua harus biarkan sahaja, bukan mendendang ketakutan atau kebimbangan yang semuanya berakar sejak negara dijajah lagi.

Generasi muda harus percaya dan yakin, akhirnya negara ini akan menjadi milik kita. Kita yang akan mentadbir dan mengurus negara ini. Kita adalah penentu kepada jatuh bangun negara ini pada masa akan datang. Kita yang akan berada di barisan hadapan untuk mempertahankan negara ini. Kita dukunglah negara ini bersama-sama bukan mendukung individu atau mana-mana parti politik.

Perjuangan demi survival negara ini perlu jelas bagi generasi muda. Pilihan raya atau jalan raya, kedua-keduanya adalah medium untuk generasi muda melakukan perubahan. Yakin dan percayalah, perubahan dalam tangan kita.





Sinaran Hairan: Generasi muda perlu memelihara tanah air


SHAH ALAM- Sudah tiba masanyagenerasi muda berubah agar tanah air akan terus terpelihara.

Pensyarah Pengajian Media, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia (UM) Prof. Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata perubahan perlu dilakukan oleh generasi muda untuk kebaikan negara.

“Parti politik bukan milik semua orang, tetapi tanah air ialah milik seluruh rakyat. Jika tanah air musnah, kita hendak pergi ke mana? Penentu pilihan raya ialah pada golongan muda agar tidak taksub pada baka politikyang diwarisi nenek moyang mereka.

Sebagai anak mudaperlu fikir adakah tanah air kita kini lebih baik dari negara lain?” katanya dalam Wacana Sinar Harian yang bertajuk PRU 13, undi siapa jadi penentudi sini hari ini.

Katanya, perubahan yang berlaku di Mesir dan Romania diatas kebangkitan anak muda wajar dicontohi.

“Bagaimana anak muda di Mesir merealisasikan bahawa golongan tua yang taksub pada politik lama gagal diselamatkan?Bagaimana berbillion ringgit setiap tahun dengan sekelip mata hilang? Mesir sepatutnya menjadi negara yang bagus.

Oleh itu, anak-anak muda yang bangkit dan membebaskan Mesir harus dijadikan model dan bukan survival politik,” katanya.

Selain itu, katanya, dengan perubahan yang dilakukan juga mampu mengubah indeks demokrasi dan rasuah negara.

“Kenapa kita harus sayang pada parti yang tidak mampu melakukan janji yang mereka katakan. Jika mereka tak dapat lakukan janji itu, kita harus tukar dan beri pada yang lain,” ujarnya. 

Tambahnya lagi, dalam proses sebuah tamadun, tidak perlu ada perasaan bimbang jika mana-mana parti akan jatuh dan diganti parti lain.

Jelasnya, apa yang penting ialah kepercayaan.

“Jika Pakatan Rakyat (PR) diberi kepercayaan untuk mentadbir dan mereka berjaya, maka kita harus beri kepercayaan. Penentu sekarang ialah demografi golongan muda berumur 21 hingga 40 tahun disamping kaum Cina dan kaum wanita. Saya menyeru kita semua lakukan perubahan demi kebaikan negara,” ujarnya.


No comments: